intisari kitab hadis 40 akhir zaman syeikh fahmi zamzam
(1) hendaklah kita selalu bermuhasabah (memperhitungkan diri) dan membuat penelitian terhadap diri kita masing-masing untuk mempertingkatkan amalan yang sedia ada dan menjauhkan segala perkara-perkara yang tidak baik. kita hendaklah menjauhkan diri dari golongan yang tersesat yang mana sifat-sifat mereka telahpun diterangkan oleh Rasulullah sallallahualaihiwasallam di dalam hadis-hadis yang berkenaan.
(2) hendaklah kita berpegang teguh dengan aqidah ahlus sunnah wal jamaah, aqidah yang telah menjadi pegangan para sahabat, tabien dan para ulama, baik salaf mahu pun khalaf yang datang silih berganti dari masa ke semasa kerana golongan ini sahajalah yang akan selamat dan yang akan memasuki syurga. golongan yang lain daripada mereka akan menjadi penghuni neraka.
(3) hendaklah kita berusaha mencari ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu-ilmu yang diistilahkan oleh para ulama sebagai "ilmu fardhu ain" kemudian disusuli pula dengan "ilmu fardhu kifayah". pada setiap hari, pastikan kita dapat memperuntukkan masa yang khas untuk belajar ilmu syariat, terutama dari ulama yang soleh-soleh yang mewarisi tugas para anbiya alaihimussalam. cari dan tuntutlah sebelum ianya diangkat (dihilangkan) oleh Allah dari permukaan bumi ini
(4) hendaklah kita berusaha untuk membersihkan hati dari sifat-sifat yang kotor dan sentiasa bermujahadah untuk menghilangkan sifat-sifat yang tercela seperti "hubbud dunia" (cinta kepada dunia) dan "takut mati" yang merupakan punca dari segala kelemahan kaum muslimin dan punca kemangan musuh terhadap kita. untuk tujuan ini kita hendaklah mempelajari dan mendalami ilmu akhlak (ilmu tasauf) serta menghayatinya di dalam penghidupan kita.
(5) hendaklah kita berhati-hati di dalam mencari nafkah kehidupan supaya kita terhindar daripada sumber-sumber yang tidak diredhai oleh Allah. hendklah kita menjauhi harta-harta yang haram dan jangan melakukan sebarang kezaliman terhadap hak milik orang lain kerana tubuh badan yan tumbuh daripada makanan yang haram pasti akan dibakar api neraka
(6) hendaklah kita mengambil berat masalah pendidikan keluarga, anak isteri dan kaum kerabat. dan hendaklah kita melapangkan masa untuk mentarbiyahkan mereka dan berusaha supaya mereka dapat mengikuti tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Rasulullah. jika kita tidak berbuat demikian, besar kemungkinan kita akan menjadi binasa dan tercebur ke dalam jurang kemaksiatan, iaitu apabila kita terpaksa memenuhi kehendak dan kemahuan mereka yang terkadang bercanggah dengan kehendak agama.
(7) hendaklah kita memperuntukkan masa yang cukup pada setiap hari untuk membaca al-Quranul karim. bacalah al-Quran sebelum ianya diangkat daripada permukaan bumi ini. hendaklah kita membacanya dengan baik, serta berusaha untuk memahami isi kandungannya. ia adalah teman kita di malam yang sunyi dan wirid yang dibaca ketika manusia sedang sibuk dengan urusan di waktu petang hari dan di waktu mereka nyenyak tidur sebelum terbit fajar.
(8) hendaklah kita memperuntukkan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita untuk dibahagikan kepada keluarga kita yang memerlukannya dn orang lain yang kurang bernasib baik, kerana sedekah itu adalah sebahagian dari bekalan untuk kita menjalani negeri akhirat yang sangat jauh dan susah itu. semoga apa yang kita korbankan itu akan menjadi hitungan dalam suratan kebaikan di akhirat kelak.
(9) hendaklah kita memahami Islam ini dengan bentuknya yang "syumul" yang melengkapi seluruh aspek kehidupan. dengan itu kita hendaklah mengikuti dan melaksanakan ajaran Islam di dalam semua bidang kehidupan kita. Islam ketika berada di masjid, Islam ketika berada di tengah masyarakat, Islam ketika bernegara dan Islam di dalam semua lapangan kehidupan kita.
(10) dan yang terakhir sekali, hendaklah kita hidup untuk agama yang kita cintai ini. kita menjadikan Islam sebagai pilihan dan berjuang untuk menyebarkannya. kita hendaklah memberi pengorbanan yang sewajarnya untuk Islam di samping berusaha dengan gigih untuk memperjuangkannya. kita hendaklah juga peka terhadapa apa yang dirancangkan oleh musuh-musuh Islam, sama ada daripada golongan Yahudi ataupun dari golongan Nashrani dan dari golongan yang lain-lain. dengan itu kita akan dapat memelihara diri dari termasuk ke dalam perangkap yang mereka pasangkan untuk menghancurkan umat Islam.
inilah sepuluh intisari yang mampu saya tuliskan di sini yang merupakan sebahagian daripada mutiara-mutiara yang terkandung di dalam hadis-hadis yang telah kita sebutkan. mudah-mudahan kita mendapat keberkatan daripadanya dan semoga Allah selalu mencucuri kita dengan rahmatNya dan ampunanNya bagi segala dosa dan kesalahan.
wallahualam bis-shawab
No comments:
Post a Comment